KESANTUNAN BERBAHASA GURU PRAKTIKUM MENURUT AL QURAN DAN HADIS : KAJIAN KES

07/10/2016 07:38

Shabibah binti Shaufit Affandi

Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim

Nazri bin A. Bakar

Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun

Abstrak

Firman Allah  :....dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.” (An-Nissa : 5)  Melalui komunikasi dan interaksi ini dapat mempengaruhi murid untuk meningkatkan minat terhadap sesuatu mata pelajaran yang diajar.  Mata pelajaran yang dipelajari akan menjadi mudah dikuasai oleh setiap murid jika guru mengamalkan kesantunan berbahasa dalam kehidupan.  Sehubungan itu,  kesantunan berbahasa dalam komunikasi guru dengan murid sering kali dipandang ringan,  lantas boleh menimbulkan pelbagai konflik dan masalah di sekolah.  Oleh demikian,  guru harus menggalas tanggungjawab yang berat dalam menerapkan kesopanan berbahasa dalam diri sendiri.  Kajian yang dijalankan bertujuan untuk melihat kesan kesantunan berbahasa guru terhadap minat murid dalam mata pelajaran yang diajar seterusnya membawa kepada peningkatan pencapaian murid.  Kajian berbentuk kualitatif ini melibatkan seramai tujuh orang siswa pendidik semester enam Program Sarjana Muda Pendidikan. Data yang dikumpul melalui pemerhatian terhadap siswa pendidik yang sedang menjalani praktikum selama lapan minggu. Dapatan kajian ini menunjukkan amalan kesantunan berbahasa siswa pendidik semasa praktikum dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran yang diajar.  Ini dapat dilihat daripada peningkatan pencapaian murid sebanyak dua hingga dua puluh enam markah dalam ujian yang telah diberi.   Selain itu, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa setiap guru perlu memiliki  kesantunan berbahasa sebagai pemangkin kejayaan kepada setiap murid.   Oleh itu, dicadangkan agar kajian yang lebih meluas dilaksanakan terhadap kesantunan berbahasa mengikut al Quran  dan hadis bertujuan sebagai pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Kata Kunci  : Kesantunan Berbahasa, al Quran,hadis, praktikum

Kertas ini dibentang dalam Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam pada 5-7 Oktober 2016 di IPG Kampus Tuan Abdul Razak, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak.