AMALAN NILAI-NILAI MURNI DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH ORANG ASLI; SATU TINJAUAN AWAL

10/07/2015 09:52
Dr. RIDZUAN BIN AHMAD DAN USTAZ MD ZUKI BIN HASHIM

Abstrak

Tanggungjawab pendidikan haruslah mencakupi segenap kaum dan etnik yang berada di Malaysia termasuk masyarakat Orang Asli. Malahan pihak Kementerian Pelajaran melalui teras keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidkan 2006-2010 menggariskan usaha bagi merapatkan jurang luar bandar dan bandar.  IPGM Kampus Sultan Abdul Halim melalui projek Jaringan Utara, telah merangka  Blue Print 5 tahun (2006-2010) ke arah pengembelingan tenaga bagi meningkat mutu pencapaian pendidikan di sekolah-sekolah orang asli. Empat buah sekolah  di pendalaman Gerik telah dijadikan sebagai sekolah angakat iaitu  Sek.Keb RPS Banun, Sek.Keb RPS Pos Kemar, Sek. Keb RPS Sungai Tiang dan Sek. Keb. RPS Dala.  Pada hemat pengkaji, aspek nilai dilihat sebagai salah satu aspek yang penting dan mempunyai perkaitan secara tidak langsung dengan tahap pencapaian murid orang asli. Lagipun, penerapan nilai merupakan sebahagian agenda pendidikan yang perlu diljayakan oleh semua warga pendidik. Oleh itu dapatan kajian,  akan dapat memaklumkan kedudukan dan tahap pengamalan nilai di kalangan murid orang asli. Pengkaji hanya memilih lima aspek nilai utama sahaja iaitu kebersihan, kerajinan, kesyukuran, kepatuhan dan hormat menghormati.  Nilai kebersihan merangkumi  kebersihan pakaian, imej diri dan kekemasan. manakala nilai  kerajinan mencakupi 75% hadir ke sekolah, 75 % menyelesaikan kerja sekolah dan mengisi masa lapang.  Nilai kesyukuran pula dilihat dari sudut suka berterima kasih, kekemasan buku teks dan meja kerusi. Nilai kepatuhan pula dirujuk kepada kepatauhan kepada peraturan sekolah, melaksanakn tugasan mengikut jadual dan mematuhi arahan guru, manakala  nilai hormat menghormati pula dirujuk kepada cara menghormati tetamu, perhatian yang diberikan ketika berada di dalam kelas dan menuruti arahan yang diberikan oleh ketua kelas. Seramai 90 orang responden (62 %)  daripada  populasi  responden (145 orang) telah terlibat di dalam kajian ini. Mereka terdiri daripada dua suku kaum utama orang asli di daerah Gerik iaitu Temia dan Jahai.  Dua kaedah pengumpulan data digunakan iaitu melalui kaedah temu bual dan pemerhatian. Dengan menggunakan min peratus bagi setiap kekerapan aspek yang dikaji, pengkaji telah mengkategorikan kepada empat skala mudah iaitu purata   75-100% (Amat Memuaskan), 50-74 %  (Memuaskan), 25 -49 % (Kurang Memuaskan ) dan  0-24 % (Tidak Memuaskan). Dapatan kajian menunjukkan empat nilai yang dikaji memperolehi min peratus amat memuaskan iaitu kebersihan (83%), kesyukuran (96%), kepatuhan (88%) dan hormat menghormati (99%), manakala nilai kerajinan hanya memperolehi purata 70%.   Dapatan kajian juga turut mengesani  tiga aspek  yang dicapai kurang memuaskan iaitu  aspek kehadiran ke sekolah (43 %), mengisi masa lapang (47%), menyelesaikan kerja rumah 32 % dan aspek mematuhi peraturan sekolah hanya di tahap memuaskan dengan purata 64 %. Menurut hemat pengkaji, setelah lima tahun berada di alam persekolahan sepatutnya  kesemua nilai-nilai yang dikaji hendaklah dicapai pada tahap amat memuaskan. Pengkaji membuat rumusan sekalipun nilai-nilai utama yang dikaji memperolehi purata yang agak tinggi namun  purata nilai yang secara langsung berkaitan  dengan pretasi akademik hanya di tahap kurang memuaskan. Dapatan kajian juga mendapati tidak wujud perbezaan yang ketara antara kaum Temai dan Jahai dalam konteks penghayatan terhadapan nilai yang dikaji.